FGV 2025 Perkasa peneroka, angkat industri desa ke peringkat global

2025-08-01 HaiPress

Foto Bernama

KUALA LUMPUR,31 Julai – Festival FGV 2025 yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Peneroka FELDA dijadikan platform untuk memperkasakan komuniti peneroka serta mengetengahkan potensi industri desa ke peringkat global.

Pengerusi FELDA,Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penganjuran festival ini membuktikan sinergi kukuh antara FELDA dan FGV Holdings Berhad.

“Saya percaya kita kini berada dalam era baharu apabila FGV sepenuhnya berganding tenaga bersama FELDA. Dengan kekuatan kedua-duanya,FELDA dan FGV akan melangkah ke persada dunia,” katanya selepas merasmikan Festival FGV 2025 di sini.

Festival yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini merupakan kemuncak kepada pelbagai pengisian menarik di bawah Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D).

Karnival tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Antara tarikan utama ialah pelancaran aplikasi permainan mudah alih pertama di dunia iaitu FGV Edugames,yang memberi tumpuan kepada dunia pertanian sawit lestari serta aspek Alam Sekitar,Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara interaktif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV,Fakhrunniam Othman,permainan digital itu direka sebagai medium yang mudah,mesra dan relevan untuk mendekatkan generasi muda kepada sektor agrikomoditi.

“Ia bukan sahaja mempercepat adaptasi digital,malah membuka ruang untuk mereka memahami erti kelestarian dan tanggungjawab sosial melalui pendekatan yang menyeronokkan,” katanya.

Inisiatif ini mencerminkan wawasan strategik FGV dalam menyatukan pendidikan,teknologi dan tanggungjawab korporat dalam memperkasa ekosistem pertanian moden negara.

Festival FGV 2025 dijangka memberi impak positif dalam memperkukuh jenama FELDA dan FGV di peringkat nasional dan antarabangsa,di samping menyokong aspirasi kerajaan untuk melonjakkan sektor agrokomoditi negara.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.