Bank pusat AS kekalkan kadar faedah, ringgit ditutup rendah

2025-08-01 HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,31 Julai - Selepas mencatat aliran mengukuh pada sesi pagi ini,ringgit mengakhiri urus niaga dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Rizab Persekutuan (Fed) negara maju itu bertindak mengekalkan kadar faedah utamanya.

Kadar Dana Fed itu dikekalkan pada paras 4.25-4.50 peratus.

Pada pukul 6 petang ini,nilai ringgit susut kepada 4.2650/2730 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2455,semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd,Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan bank pusat AS mengekalkan kadar faedah utamanya menunjukkan Fed menganggap pendirian dasar monetari semasanya adalah wajar.

“Ini juga memaparkan bahawa Fed mahu mengekalkan dasar itu memandangkan kebimbangan terhadap inflasi yang didorong oleh tarif memerlukan pendirian dasar monetari yang lebih ketat,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan,Mohd Afzanizam berkata pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini menyaksikan peruntukan perbelanjaan pembangunan dinaikkan kepada RM430 bilion daripada RM400 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang iaitu 2026 hingga 2030.

“Ini membantu merangsang permintaan domestik yang dapat menggalakkan lagi kegiatan pelaburan,seterusnya membantu meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia. Pada akhirnya,ini akan memberi kesan positif kepada ringgit dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya.

Beliau berkata RMK13 yang bertujuan memacu pertumbuhan mampan berasaskan penciptaan nilai merentasi semua sektor,melibatkan pelaburan RM611 bilion bagi memastikan kejayaan pelan lima tahun berkenaan dengan RM430 bilion adalah peruntukan pembangunan oleh kerajaan.

Pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion bagi menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan langsung domestik dalam sektor strategik.

Di bawah usaha menerusi kaedah kerjasama awam-swasta (PPP),sokongan daripada sektor swasta pula berjumlah RM61 bilion.

Mohd Afzanizam berkata daripada peruntukan RM430 bilion itu,lebih separuh atau RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai nadi utama pertumbuhan negara.

Dalam pada itu,di akhir urus niaga hari ini ringgit mencatat prestasi lebih mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.8443/8498 daripada 2.8646/8678 semalam,mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6426/6532 daripada 5.6745/6805 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8766/8857 daripada 4.8996/9048 sebelum ini.

Ringgit juga kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang serantau,termasuk meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.31/7.33 daripada 7.36/7.38,naik sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.0448/0753 daripada 13.0528/0719 serta meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2889/2953 daripada 3.2919/2957.

Namun,berbanding rupiah Indonesia,ringgit susut kepada 259.1/259.7 daripada 258.5/258.9,semalam. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.