Gangguan bekalan elektrik punca sistem bagasi terjejas di Terminal 1 KLIA

2026-04-20 HaiPress

Foto fail RTM

PUTRAJAYA,20 April- Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan gangguan bekalan elektrik telah menyebabkan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terjejas pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI

MOT memaklumkan walaupun sistem tersebut disokong oleh unit Bekalan Kuasa Tidak Terganggu (UPS),sebanyak enam unit telah terjejas,sekali gus mendedahkan kelemahan dalam daya tahan sistem.

“Antara 5.00 petang hingga 10.30 malam pada 18 April,lapangan terbang mengendalikan sejumlah 23,769 bagasi. Walaupun sebahagian besar operasi berjalan seperti biasa,sebanyak 1,061 bagasi dilaporkan sebagai shortshipped,manakala 120 bagasi dikenal pasti sebagai kehilangan dalam pengendalian ketibaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOT,Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama rakan pengendali darat telah berjaya menyerahkan sebahagian besar bagasi tersebut,dengan hanya sejumlah kecil masih dalam peringkat akhir pelepasan atau tuntutan.

“Jadual penerbangan tidak terjejas,tanpa sebarang kelewatan atau pembatalan dilaporkan akibat insiden ini. Namun,semakan dalaman mengenal pasti beberapa cabaran utama termasuk penyelarasan di lapangan,masa tindak balas dan keterlihatan sistem secara masa nyata.

“Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) telah diaktifkan,skala gangguan melebihi senario sedia ada. Sebagai tindak balas segera,MAHB dan rakan syarikat penerbangan melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan,” menurut kenyataan itu.

MOT telah mengarahkan rombakan menyeluruh terhadap protokol dan infrastruktur pengendalian bagasi di KLIA susulan gangguan operasi berkenaan,selain memantau rapat pelaksanaan penambahbaikan tersebut.

“Pada 22 April,MOT akan membentangkan Nota Kabinet berhubung insiden ini. Selain itu,Pengarah Urusan MAHB diarah untuk mengemukakan laporan kemajuan mingguan mengenai penstabilan operasi bagasi.

“Pada masa sama,Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menjalankan siasatan dan akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi semua piawaian keselamatan dan perkhidmatan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MOT memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa langkah proaktif dan tegas sedang dipercepat bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan dan kebolehpercayaan tertinggi.

Semalam,Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata CAAM,sebagai pengawal selia penerbangan tunggal negara,telah diarahkan menyiasat insiden berkenaan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.